Pengenalan

Pada Mesyuarat Agung PIBG Sesi 2017-2018, telah diusulkan Cadangan Pembinaan Surau SK Saujana Impian oleh Mr. Jesvinder Singh dan telah mendapat kelulusan. Mesyuarat juga telah bersetuju untuk melantik Dato’ Sr. Rosli bin Atan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana Surau SKSI.

Susulan daripada itu, Dato’ Sr. Rosli bin Atan telah membentuk kumpulan sukarelawan teknikal dan mempengerusikan beberapa mesyuarat sehingga terbitlah lukisan cadangan Surau SKSI dan lain-lain kemudahan ini. Terima kasih yang tidak terhingga kepada Dato’ Sr. Rosli bin Atan kerana telah memimpin dan memberi inspirasi kepada kami untuk merealisasikan impian pembinaan Surau SKSI ini.

Sejarah Sukarelawan Teknikal

Dato’ Sr. Rosli bin Atan telah melantik Ir. Zaini bin Ibrahim sebagai Pengerusi Teknikal Jawatankuasa Pelaksana Surau SKSI untuk mengetuai barisan sukarelawan perunding. Proses reka bentuk telah dimulakan dengan Pengukuran Sempadan oleh Jurukur Bertauliah Sr. Nurul Hisyam Bin Ismail. Terima kasih kepada beliau kerana walaupun tiada anak yang bersekolah di SKSI, tetapi tetap sudi mencurah khidmat secara percuma.

Seterusnya Lukisan Arkitek telah dibuat oleh Pelukis Pelan En. Azharuddin Bin Basiruddin, Beliau telah beberapa kali mengemukakan lukisan cadangan Pembinaan untuk pertimbangan Ahli Jawatankuasa Pelaksana Surau SKSI. Terima kasih kepada beliau kerana walaupun tiada anak yang bersekolah di SKSI, tetapi tetap sudi mencurah khidmat secara percuma.

Lukisan Kejuruteraan pula telah dikeluarkan dan disahkan oleh Ir. Zaini bin Ibrahim. Untuk makluman, salah satu syarat utama untuk Kelulusan Pembinaan oleh Jabatan Pendidikan Negeri Selangor adalah Lukisan mempunyai Mohor Jurutera Profesional. Walaupun anak beliau sudah pun menamatkan persekolahan di SKSI, tetapi tetap sudi mencurah khidmat secara percuma.

Lukisan Pelan Cadangan Surau SKSI ini sekali lagi mengalami perubahan dengan penambahan Bilik PIBG dan Bilik Utiliti. Perubahan lukisan Arkitek sedang dibuat oleh seorang bapa kepada pelajar SKSI iaitu En. Hazrin . Beliau juga turut mencurah khidmat secara percuma.

Seterusnya, lukisan Arkitek yang baru perlu diserahkan kepada Ir. Zaini untuk perubahan reka bentuk kejuruteraan. Semoga Ir. Zaini bin Ibrahim masih sudi mencurah khidmat secara percuma.

Konsep Reka Bentuk Bangunan & Anggaran Kos

Reka bentuk Bangunan telah mengambil kira faktor bahawa ruang Surau yang besar dan luas hanya diperlukan apabila ada program besar seperti Solat Hajat Perdana atau beberapa program lain sahaja. Maka konsep ruang serbaguna telah di terapkan. Pada kebanyakan masa, sebahagian daripada binaan bangunan akan dijadikan sebagai ruangan kelas serbaguna. Dinding penyekat ruangan boleh dibuka mengikut keperluan samada untuk membesarkan ruangan Surau atau menjadi dewan tertutup. Semoga dengan kaedah ini akan dapat memaksimumkan pahala para penyumbang sekalian.

Binaan Surau ini juga akan mempunyai ruang berwuduk tertutup yang luas untuk muslimah. Kemudahan lain yang ada pada cadangan binaan ini adalah Kelas Serbaguna, Bilik PIBG, Bilik Fail, Bilik Utiliti, Tandas Lelaki dan Perempuan.

Binaan Surau ini dijangka akan dapat menampung seramai 350 orang jemaah pada bahagian dalam bangunan dan tambahan 150 orang di ruang legar pada satu masa apabila ruangan sekatan dibuka sepenuhnya.

Bangunan adalah binaan satu tingkat dengan ketinggian Roof Beam pada 12.5 kaki . Saiz

binaan keseluruhan bangunan adalah 152 kaki panjang x 28 kaki lebar iaitu bersamaan 4,256 kaki persegi. Ruang Wuduk Tertutup 28 kaki panjang x 6 kaki lebar iaitu bersamaan dengan 168 kaki persegi. Ruang siar kaki yang luas, bersamaan dengan 980 kaki persegi. Berdasarkan harga pembinaan RM100 sekaki, kos pembinaan adalah dianggarkan mencecah RM491,400.00

Insya-Allah, pembinaan bangunan Surau SKSI serta lain-lain kemudahan ini akan dimulakan setelah mendapat kelulusan daripada Jabatan Pendidikan Negeri Selangor dengan menggunakan hasil sumbangan para dermawan.

Program Bantuan Pemulihan Masjid & Surau

 

YBIM, dengan berbesar hati menyumbangkan RM 50,000.00 kepada Tabung Surau SK Saujana Impian di bawah Program Bantuan Masjid & Surau yang mana program ini memfokuskan kepada Institusi-institusi Keagamaan yang diperlukan oleh masyarakat setempat.

 

Insya-Allah, pihak YBIM akan meneruskan usaha kami melalui program-program kami bagi menyantuni keperluan masyarakat setempat khususnya golongan asnaf.